HUKUM MEWARNAKAN RAMBUT DALAM ISLAM
Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan dari kecantikan. Ini selaras dengan sabda nabi SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan dan ia bersih dan sukakan kebersihan“.
Apa yang penting bagi orang yang ingin
mewarnakan rambut ialah bahan pewarna itu halal dan telap air seperti inai (ini
jelas harus dan disebut di dalam hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda
dianggap tidak sah.
Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), dari segi ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran kita terbahagi
kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi
satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.
Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya
akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye. Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent
dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang
Islam. Begitu juga sebaliknya.
Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut
kerana ia dikilangkan di luar negara. Secara teknikalnya, Jakim hanya
mengeluarkan sijil halal untuk produk yang diproseskan di Malaysia sahaja.
Mewarnakan rambut kebiasaannya dilakukan
sama ada untuk menutupi uban di kepala ataupun semata-mata untuk kecantikan. Bagi kedua-dua tujuan tersebut, hukum asal
mewarnakan rambut sama ada dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi
mana perkara-perkara berikut dijaga:
1. Tidak
menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna, fesyen warna, gaya
warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan
bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah memakainya dia akan kelihatan
seperti wanita bukan Islam, maka tidak harus mewarnakan rambut dengan warna,
gaya, fesyen atau bahan demikian. Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم
Maksudnya, “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian
daripada mereka”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4/44, no: 4031).
2. Wanita bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan
rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya.
3. Wanita yang sedang dalam tempoh edah kematian suami tidak diharuskan
mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan
menyerlahkan kecantikan, dan ia dilarang terhadap wanita yang dalam edah
kematian suami.
4.
Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban
dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di
dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah
yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan
jauhi warna hitam”. (Diriwayatkan oleh Muslim, 3/1663, no: 2102). Dalam mazhab
Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam tidak dibenarkan untuk wanita kecuali
dengan izin suami.
5.
Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah daripada
bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau bercampur
dengan bahan najis.
5.
Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan yang
hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan melapisi rambut
yang boleh menghalang air daripada mengenai anggota mandi wajib.
6. Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya
kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk
diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak
bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat
berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj
(berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi.
7. Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita
yang mewarnakan rambut, para ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang
melekat dan melapisi anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. Justeru,
perkara ke-6 di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi
wajib.
Selain daripada inai, pada hari ini pewarna
rambut sudah ada banyak. Ada yang berunsur dari unsur yang halal dan ada yang
berunsur dari unsur yang haram. Cuma isunya di sini, adakah sah mandi wajib
ini air wajib diratakan pada rambut atau air perlu diratakan pada kepala?
Sah mandi wajib ialah air diratakan di
kepala. Buktinya ada di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di mana
jelas Baginda mengatakan bahawa bagi wanita yang bersanggul atau rambutnya
berpintal, dia tidak perlu membuka sanggulnya jika hendak mandi wajib.
Jadi wanita itu tidak perlu mencukur
kepalanya. Tetapi jika dia mewarnakan rambut dengan
pewarna yang haram, selepas ini jangan warnakan lagi dengan pewarna tersebut.
Asal pewarna rambut ada warna hitam, ada
warna oren. Warna hitam asalnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam larang. Nabi
melarang khusus bagi orang yang sewajarnya pada usia tersebut telah beruban
tetapi dia tidak mahu mengiktirafnya.
Melainkan kalau budak itu berumur 13 tahun
tetapi rambutnya habis beruban, itu tidak kena dengan keadaannya. Adapun bagi
orang yang memang sudah berusia, contohnya 30-an, 40-an, dan dia telah beruban,
tidak boleh dia menghitamkan rambutnya.
Kedua, hitamkan rambut yang dibolehkan juga
adalah sekiranya terlibat dalam peperangan, untuk menampakkan muda
tentera-tentera Islam.
Itu pun dibahaskan disebabkan bapa kepada
Abu Bakar, Abu Quhafah di dalam hadis yang boleh dibaca di dalam Riyadhus
Salihin tentang hukum mewarnakan rambut, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam
menegurnya kerana dia datang dalam keadaan rambutnya berwarna putih.
Nabi lalu memerintahkan kepadanya,
غَيِّرُوا هَذَا بِشَيْءٍ وَاجْتَبُوا السَّوَادَ
“Ubahlah ini dengan
sesuatu dan jauhilah warna hitam.” (Riwayat Muslim)
Dari situ ada perselisihan. Ada yang
mengatakan kalau sudah tua dan beruban tidak boleh mewarnakan rambut dengan
warna hitam, hendaklah mewarnakan dengan warna oren atau coklat keoren-orenan
(warna inai). Adapun warna hitam betul hanya dibolehkan bagi orang-orang muda
sahaja. Itu untuk tujuan peperangan.
Walau bagaimanapun, kembali kepada soalan,
orang yang mewarnakan rambut tidak perlu membotakkan kepala. Sebab asal mandi
wajib itu adalah meratakan air di tubuh badan.
Begitu juga dengan menyapu kepala ketika
wudhu. Yang perlu disapu adalah kepala, tetapi kenapa kita menyapu rambut
adalah sebab rambut berada di atas kepala. Bukan tujuannya menyapu rambut.
Kalau orang yang memang botak dan tidak ada rambut, adakah dia tidak boleh
wuduk kerana tidak ada rambut?
Yang betul yang perlu disapu (ketika wuduk)
adalah keseluruhan kepala, bukan menyapu tiga helai rambut, atau menyapu rambut
sampai ke hujungnya. Kita bukan disuruh menyapu rambut tetapi kita disuruh
menyapu kepala.
Begitu juga mandi wajib, kita hanya perlu
meratakan air di kepala. Jika bersanggul, sanggul itu tidak perlu dibuka, cukup
sekadar meratakan air di atasnya.
Wallahu a’lam.
Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-wanita-mewarnakan-rambut, http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0402&pg=ba_02.htm&sec=Bicara_Agama&y=2010,
Ulasan
Catat Ulasan